Projek Perumahan Sakit Di Bintulu Selesai Selepas 7 Tahun Tertangguh

Disiarkan pada 19 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) berjaya menyelesaikan sebuah projek perumahan sakit di Lot 6256 dan Lot 6258, Blok 32, Daerah Tanah Kemena yang dibangunkan oleh Tiara Seni Sdn Bhd selepas mengalami kelewatan selama tujuh tahun daripada tarikh siap asal pada Disember 2017.

MPHLG dalam satu kenyataan media pada Selasa berkata, projek tersebut melibatkan 220 unit kediaman merangkumi rumah berkembar, rumah teres, rumah teres kos rendah serta townhouse, dan kelewatan itu memberi kesan kepada seramai 75 pembeli rumah.

Menerusi pemantauan berterusan serta penglibatan aktif bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Jabatan Tanah dan Survei, Bintulu Development Authority, pihak pemaju dan juga pembeli rumah, MPHLG berjaya memfasilitasi penyelesaian isu pematuhan teknikal yang sebelum ini menghalang kemajuan projek.

Hasilnya, Sijil Layak Menduduki (Occupation Permit - OP) dikeluarkan secara berperingkat, sekali gus membolehkan rumah diserahkan kepada pembeli.

Batch pertama OP dikeluarkan pada 14 Julai 2025 melibatkan 38 unit rumah teres dua tingkat dan rumah berkembar dua tingkat, manakala batch kedua dikeluarkan pada 6 Ogos 2025 bagi 46 unit rumah teres dua tingkat.

“Beberapa rumah telah pun diserahkan kepada pembeli masing-masing, dan ini membuktikan keberkesanan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan (JKTP) sebagai platform menyelaras isu, mendapatkan input teknikal dan merangka penyelesaian kolaboratif,” jelas kenyataan MPHLG.

Baki unit lain masih dalam peringkat pembaikan manakala pembinaan rumah townhouse sedang diteruskan, dengan kementerian akan terus memantau rapat perkembangan projek sehingga siap sepenuhnya.-EDISI UKAS