MPKS, UNIMAS Perkukuh Kerjasama Strategik Bangunkan Kota Samarahan

Disiarkan pada 19 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bakal memperkukuh kerjasama menerusi pelaksanaan Smart Strategic Partnership yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti, peningkatan kapasiti serta agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG’s).

Kerjasama tersebut dimuktamadkan dalam kunjungan hormat MPKS ke atas Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, baru-baru ini.

Antara inisiatif yang dibincangkan ialah pelaksanaan program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), kolaborasi latihan pembangunan kapasiti, serta penglibatan UNIMAS dalam program Samarahan Food & Cultural Festival (SFCF) 2025.

Menurut MPKS, kolaborasi ini penting bagi mengukuhkan peranan UNIMAS sebagai institusi akademik berpengaruh global dalam memacu pembangunan Kota Samarahan ke arah bandar pintar, progresif dan inklusif.

Rombongan MPKS diketuai Pengerusi Perbandaran MPKS, Abang Ismawi Abang Ali bersama Timbalan Pengerusi Perbandaran MPKS, Daily Joseph, serta Setiausaha Perbandaran MPKS, Gustian Durani.-EDISI UKAS