SERIAN: Wan Jamaluddin Sait dan Surayah Suparti dinobatkan sebagai Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Serian 1447H/2025M.
Kemenangan itu membolehkan kedua-duanya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000, trofi dan hadiah iringan tajaan Baitulmal Bahagian Serian.
Tempat kedua masing-masing disandang oleh Azri Deli (Qari) dan Talmatasiah Abdullah (Qariah) dengan hadiah wang tunai RM700 berserta trofi dan hadiah iringan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohamad Ehsan Kamuri dan Nurul Sabriena Abdullah yang menerima wang tunai RM500 bersama trofi dan hadiah iringan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dato’ Idris Buang bersama isteri, Datin Hidayah Hussein di sini, pada Isnin.
Dalam ucapannya, Dato’ Idris menegaskan Kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan pembangunan rohani rakyat berjalan seiring dengan kemajuan fizikal dan ekonomi negeri.
“Kita percaya, kemajuan yang sebenar adalah apabila rakyat bukan sahaja cemerlang dalam bidang ilmu, sains dan teknologi, tetapi turut teguh dari segi akhlak dan jati diri.
Dalam dunia yang semakin mencabar ini, Al-Quran wajar dijadikan benteng rohani untuk menghadapi cabaran moral, sosial dan akidah,” katanya.
Beliau turut menyeru agar institusi keluarga, masjid, sekolah dan masyarakat memainkan peranan penting bagi memastikan Al-Quran terus menjadi rujukan utama dalam melahirkan insan berakhlak mulia.
Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Serian merupakan acara tahunan anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Serian dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Bahagian Serian (JAIS), bertemakan “Ummah Maju Makmur”, selari dengan tema Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak tahun ini.
Seramai enam Qari dan lima Qariah menyertai pertandingan pada edisi kali ini, manakala tiga peserta Qari Rohaizat Rejab, Amirul Naseen Jamaluddin dan Nizam Abdullah serta dua peserta Qariah Sarinah Clement @Uthman dan Masni Rajali masing-masing menerima saguhati berupa wang tunai RM100 bersama hadiah iringan.
Turut hadir Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap dan Pegawai Agama Islam Bahagian Serian, Ustaz Madihi Jamali.-EDISI UKAS