BINTULU: Projek Menaiktaraf Sekolah Menengah Vokasional Bintulu lengkap sepenuhnya, lebih awal dari jadual sebenar.
Projek bernilai RM21.5 juta itu dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan kaedah konvensional perunding melalui kontraktor Asarajaya Sdn. Bhd.
Majlis penyerahan projek siap itu kepada Kolej Vokasional Bintulu, Sarawak telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi pada Isnin.
Menurut Dato Sri Alexander, penyiapan projek itu 49 hari lebih awal daripada jadual asal tanpa memerlukan Extension of Time (EOT), menjadi contoh terbaik bagi pelaksanaan projek lain.
Menurutnya, projek naiktaraf ini merupakan antara inisiatif utama Kerajaan MADANI bagi memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET), selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
“Beberapa bengkel baharu telah dibina termasuk Bengkel Seni Kulinari, Fesyen, Kosmetologi, Elektrik, Elektronik, CAD, Mock Office, Pendawaian dan Teknologi Kimpalan.
"Kesemua ini akan menjadi medium latihan terbaik untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan menyiapkan projek ini bukan sahaja melengkapkan kemudahan fizikal, malah diharap dapat menyuntik semangat baharu dalam kalangan pendidik dan pelajar untuk terus membudayakan kecemerlangan pendidikan.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya JKR Malaysia, pasukan projek, kontraktor utama serta para perunding profesional yang menunjukkan komitmen tinggi.
Pada masa sama, beliau mengingatkan kontraktor agar segera melaksanakan pembaikan sekiranya terdapat aduan sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP), manakala JKR diminta terus membuat pemantauan pasca penyerahan bagi memastikan kemudahan berada dalam keadaan baik serta menepati spesifikasi.
“KKR dan JKR sentiasa komited melaksanakan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat. Kejayaan projek ini adalah bukti bahawa aspirasi Kerajaan MADANI diterjemahkan melalui tindakan – projek berkualiti, siap tepat pada masanya, dan memberi nilai tambah kepada masyarakat,” tegas beliau.
Turut hadir dalam majlis penyerahan ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi, Setiausaha Bahagian Pembangunan KPM, Datuk Masyati Abang Ibrahim serta beberapa pegawai kanan JKR dan Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti.-EDISI UKAS