KUCHING: Bidang penterjemahan bukan sekadar alat komunikasi, malah menjadi pemacu strategik kepada pembangunan ilmu, ekonomi digital, industri kreatif serta diplomasi silang budaya negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penterjemahan berperanan penting sebagai jambatan yang menghubungkan tamadun, memperluas akses ilmu pengetahuan, serta memelihara warisan budaya pelbagai bangsa.
Katanya, di Sarawak, dengan lebih 30 kumpulan etnik yang memiliki bahasa dan dialek tersendiri, penterjemahan turut menjadi mekanisme pemeliharaan khazanah linguistik dan budaya yang unik kepada negeri ini.
“Sesungguhnya saya tidak melihat penterjemahan ini sekadar alat komunikasi, bahkan ia menjadi pemacu strategik kepada pelan-pelan pembangunan Sarawak dalam memudahkan kerjasama dengan pelabur asing serta meningkatkan akses kepada modul dan latihan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam sempena Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-20 yang berlangsung di Kuching pada Selasa.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan bahawa pelaburan dalam bidang penterjemahan, latihan penterjemah profesional, dan teknologi linguistik adalah sebahagian daripada infrastruktur intelektual yang menyokong aspirasi besar Sarawak di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Dalam ucapannya, Premier juga mengaitkan kepentingan penterjemahan dengan pembangunan sektor penerbangan serantau, termasuk perkhidmatan AirBorneo yang bakal menghubungkan Sarawak dengan Singapura, Kuala Lumpur, Jakarta dan Hong Kong secara berperingkat.
Menurut beliau, penterjemahan berkualiti akan menjadi kunci kepada diplomasi budaya dalam kalangan penumpang pelbagai latar bahasa.
Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), khususnya Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi selaku tuan rumah, serta rakan penganjur iaitu Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) atas kejayaan menganjurkan persidangan berprestij ini.
“Persidangan ini menjadi medan subur untuk perkongsian ilmu, idea dan inovasi dalam bidang penterjemahan.
"Saya berharap ia dapat melahirkan lebih ramai penterjemah profesional, khususnya dari Sarawak, ke peringkat global,” ujarnya.
Persidangan dwitahunan ini menghimpunkan ilmuwan, penterjemah profesional, penyelidik dan pencinta bahasa dari pelbagai negara bagi membincangkan peranan penterjemahan dalam dunia tanpa sempadan.-EDISI UKAS