MIRI: Bandar Pintar Kenyalang (KSC) bakal menjadi asas kepada masa depan yang ingin dibentuk oleh Sarawak sebagai sebuah wilayah yang maju dan berpendapatan tinggi di Malaysia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkara ini dapat dilihat dalam perancangan dan pembangunan KSC ini di mana pelbagai elemen bakal disatukan termasuk universiti bertaraf tinggi daripada China serta pusat konvensyennya yang tersendiri.
Jelasnya, model pembangunan mampan KSC, reka bentuk seni bina hijaunya, penyepaduan kluster tenaga bersih dan taman inovasi, kemasukan kemudahan pendidikan dan perubatan serta tumpuannya terhadap komuniti adalah mentakrifkan masa depan sebuah bandar.
“Oleh itu, saya percaya bahawa membangunkan sebuah bandar mengikut cara KSC sedang dirancang adalah petanda yang baik untuk transformasi ekonomi yang akan dilalui oleh bahagian utara Sarawak antara sekarang dan 2050,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian dalam Sidang Kemuncak KSC di Miri pada Rabu.
Tambahnya Datuk Patinggi Abang Zohari, Penyampaian KSC memerlukan usaha kerjasama ramai orang terutamanya majlis bandaraya dan sektor swasta.
“Saya amat berharap kerjasama erat daripada pelbagai pihak ini, KSC dapat direalisasikan dalam masa dan cara yang dirancang,” jelasnya.
Difahamkan, projek KSC cetusan arkitek kelahiran Sarawak Teo Ah King yang seluas 543 ekar di utara Miri bertujuan untuk mentakrifkan semula kehidupan bandar dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini dengan projek tersebut mempunyai jangkaan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM5 bilion.
Datuk Amar Dr Sim mewakili Premier Sarawak turut menyaksikan pemeteraian tujuh memorandum persefahaman (MoU) antara Imasa Dinasti dengan rakan strategiknya bertujuan memacu pembangunan KSC.
Rakan kongsi ini ialah ‘Fudan Institutes of Integrative Medicine’, ‘China Investment Financial Holdings’, ‘Envision Energy Group’, ‘Sinohydro Bureau 12’, ‘ESG Malaysia’, ‘GreenRE’ dan ‘China Broadnet’.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Konsul Jeneral Republik China di Kuching, Xing Weiping, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono dan Datuk Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang serta dif-dif kehormat yang lain. -EDISI UKAS