Rakyat Diseru Meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Sarawak Di Sarikei

Disiarkan pada 18 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Kerajaan Sarawak menyeru seluruh rakyat wilayah ini khususnya warga Sarikei dan kawasan sekitarnya agar hadir beramai-ramai memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Sarawak yang bakal berlangsung pada 30 dan 31 Ogos depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah selaku Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan tahun ini, berkata rakyat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis dan kenderaan masing-masing sebagai tanda cinta serta kesetiaan kepada Malaysia.

“Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan, tetapi manifestasi semangat perjuangan generasi terdahulu yang wajar terus disemarakkan dalam jiwa setiap rakyat.

“Tema Malaysia Madani: Rakyat Disantuni mengingatkan kita bahawa kemerdekaan sejati ialah apabila rakyat terus dilindungi, dihargai dan disantuni dalam semua aspek kehidupan,” katanya dalam sidang media khas di sini, pada Isnin.

Beliau menegaskan, sambutan ini bukan sahaja mampu menyuburkan semangat patriotik, tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya perpaduan, tolak ansur dan kerjasama antara kaum di Sarawak.

Menurut beliau, tema sambutan kali ini turut selari dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur yang menekankan kesejahteraan rakyat, pembangunan inklusif, serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan nilai kemanusiaan.

Antara acara utama yang dijadualkan termasuk Malam Ambang Merdeka pada 30 Ogos di Kompleks Sukan Integrasi Kampung Seberang Sarikei, Unity Walk di Kompleks Sukan Sarikei, serta Perhimpunan Hari Kebangsaan di Dewan Suarah Sarikei pada pagi 31 Ogos.

Dato Sri Fatimah yakin, penganjuran di Sarikei kali ini akan membawa semangat kebersamaan yang lebih erat, sekali gus memperkukuh identiti rakyat Sarawak sebagai masyarakat yang berdaulat, harmoni dan berdaya saing.

Antara tetamu kenamaan yang dijadualkan hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil, Residen Bahagian Sarikei Datu Michael Ronnie Langgong serta tetamu yang lain. -EDISI UKAS