BINTANGOR: Jalan baharu yang dibina melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Panjang Landing, Sungai Gemuan Bintangor dijangka menjadi laluan alternatif kepada penduduk setempat untuk mengatasi masalah jalan lama yang kerap dibanjiri air pasang dan hujan lebat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek bernilai RM50,000 itu telah diluluskan kerajaan Sarawak bagi menyemen jalan sepanjang 190 meter yang menghubungkan Rumah Panjang Landing dengan Rumah Jawi, Sungai Gemuan Bintangor.
“Apabila jalan ini siap kelak, ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk, tetapi juga menjadi jalan alternatif yang lebih selamat dan selesa berbanding jalan lama yang sering ditenggelami air ketika hujan lebat atau air pasang,” katanya semasa menyaksikan Upacara Ringkas Penyerahan Tapak Projek RTP DUN Meradong di Rumah Panjang Landing, pada Isnin.
Namun beliau menegaskan agar agensi pelaksana seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sarikei memastikan kontraktor yang dilantik melalui cabutan undi mematuhi proses dan spesifikasi kerja yang telah ditetapkan.
Datuk Ding turut memuji perancangan projek yang telah lengkap dengan spesifikasi dalam dokumen kelulusan dan menambah bahawa ia perlu disiapkan dalam tempoh tiga bulan bermula 18 Ogos hingga 19 November 2025.
Katanya lagi, pelaksanaan projek RTP merupakan inisiatif berterusan kerajaan negeri untuk meningkatkan infrastruktur luar bandar, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk Rumah Panjang Landing dan Rumah Jawi khususnya.-EDISI UKAS