Surau Kampung Sangki Melayu Dinaik Taraf Di Bawah RTP DUN Sebuyau

Disiarkan pada 18 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Penduduk Kampung Sangki Melayu bakal menikmati kemudahan surau yang lebih selesa dan kondusif hasil pelaksanaan projek menaik taraf rumah ibadat tersebut di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau.

Projek ini dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan Syarikat Ahaz sebagai kontraktor utama.

Kerja-kerja naik taraf telah dimulakan pada 10 Jun 2025 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 27 Oktober 2025.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi, telah melawat tapak projek pada Isnin bagi meninjau perkembangan semasa projek serta memastikan pelaksanaannya mengikut jadual yang ditetapkan.

Lawatan itu turut memberi tumpuan kepada aspek keselamatan tapak pembinaan, kualiti kerja, serta pematuhan terhadap piawaian teknikal dan pembinaan bagi memastikan hasil projek dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti.

Naik taraf surau ini dijangka menyediakan ruang ibadah yang lebih kondusif untuk penduduk setempat serta menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di Kampung Sangki Melayu.

Pelaksanaan projek ini selaras dengan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak menerusi inisiatif RTP dalam memperkukuh infrastruktur asas luar bandar, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat dan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Turut hadir semasa lawatan ialah Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Ketua Masyarakat Kampung Sangki Melayu Rafi Rajaie.-EDISI UKAS