KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Dato’ Mustaffa Kamal Shamsudin di Kompleks Satria Pertiwi di sini, pada Isnin.
Menurut Dato’ Mustaffa, pertemuan itu antara lain bertujuan menyampaikan penghargaan terhadap sumbangan rakyat Sarawak dalam pembangunan pelbagai industri di Pasir Gudang sejak awal 1980-an.
“Hari ini peranan mereka semakin meluas kerana tidak hanya terhad dalam industri pembuatan, komersial dan pembangunan perumahan malah semakin ramai yang melebarkan sayap ekonomi dengan berbuat aktif dalam pelbagai disiplin perniagaan dan perkhidmatan.
“Generasi baharu semakin ramai yang berjaya menyambung pengajian di pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyentuh strategi ekonomi baharu Sarawak seperti pengeluaran metanol, ammonia, tenaga hidrogen, tenaga solar terapung dan banyak lagi, yang mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta menyokong agenda pendidikan tinggi percuma dan peningkatan pendapatan isi rumah.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha MBPG Nor Rahman Mustaffa, Pegawai Khas Tugas-Tugas Datuk Bandar Dr. Norlina Muhammad, Ahli Majlis MBPG Norizam Shah Md Yunus dan Pengarah Kesihatan Awam dan Persekitaran MBPG Muhammad Razif Ramlan.-EDISI UKAS