MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) melancarkan sistem E-Compound Letak Kereta 2025 di Marina Phase 2 pada Isnin sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Miri ke arah bandar hijau, pintar dan mesra didiami.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Bandar, Cr. Leslie Lau Ik Chie, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Letak Kereta, Cr. Lisa Yu Ley Ha, serta Pengurus Besar BPS Parking Systems Sdn Bhd, Au Yong Kien Mun.
Dalam ucapannya, Adam Yii berkata sistem baharu itu bukan sekadar naik taraf digital, sebaliknya satu langkah progresif bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan letak kereta di bandar raya ini.
“Melalui sistem ini, pegawai letak kereta boleh mengeluarkan notis secara serta-merta menggunakan peranti mudah alih, dengan maklumat disimpan terus ke sistem pusat secara masa nyata. Ini menjadikan perkhidmatan lebih pantas, mesra alam dan tepat,” jelas beliau.
Sistem berkenaan dilaksanakan secara percubaan di Marina Phase 1 dan Marina Phase 2, yang merupakan kawasan bertrafik tinggi, sebelum diperluaskan ke lokasi lain di seluruh bandar raya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan aspek ketelusan dan keselamatan digital, dengan setiap notis e-Compound mengandungi logo rasmi MBM, nombor kompaun, butiran kenderaan, masa, lokasi, serta jenis kesalahan mengikut The Road Transport (Provision of Parking Places) (Miri City Council) Order, 2006.
“Orang ramai boleh menyemak dan membuat pembayaran kompaun dengan mudah melalui aplikasi mudah alih rasmi Borneo Park Miri tanpa perlu beratur di kaunter,” katanya lagi.
Beliau menambah bahawa pengurusan parkir yang lebih cekap akan membantu menjadikan bandar Miri lebih teratur, mudah diakses dan mesra pelawat, selain menyokong matlamat bandar hijau dengan pengurangan penggunaan kertas.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan MBM dan rakan kerjasama BPS atas usaha menjayakan projek ini.
“Marilah kita menerima sistem baharu ini, membiasakan diri dengannya dan berkongsi pengetahuan dengan orang sekeliling agar semua dapat menikmati perkhidmatan letak kereta yang lebih moden, selamat dan telus,” ujarnya sebelum mengisytiharkan pelancaran rasmi sistem berkenaan.
Dengan slogan “Smart Parking. Trusted Service. Better Miri”, MBM yakin inisiatif tersebut akan menjadikan sistem parkir bandar raya lebih pintar, hijau dan adil untuk semua.-EDISI UKAS