MIRI: Program Perkhidmatan Bergerak bagi permohonan Kenyalang Gold Card (KGC) dan Skim Kebajikan Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB) yang berlangsung pada 16-17 Ogos lepas di Stadium Bandaraya Miri menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada warga emas.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata warga emas sekitar Miri yang berusia 60 tahun ke atas digalakkan mendaftar kerana pengeluaran kad dilakukan terus selepas kelulusan dengan bantuan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari Kuching.
“Kami amat bertuah kerana pegawai JKM sekali lagi turun padang untuk memudahkan proses pendaftaran dan pengeluaran KGC secara terus, seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini,” katanya semasa hadir meninjau perjalanan program serta beramah mesra dengan para pemohon dan petugas di lapangan pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu menambah, KGC diperkenalkan untuk membolehkan warga emas menikmati pelbagai kemudahan serta diskaun khas daripada kerajaan, agensi dan pihak swasta, manakala skim SCHB menawarkan bantuan RM500 setahun bagi tujuan kesihatan, sekali gus meringankan beban kos perubatan golongan tersebut.
“Program seumpama ini bukan sahaja membantu penerima dari segi ekonomi, tetapi juga memastikan semua rakyat dapat menikmati kasih sayang dan kepedulian masyarakat. Lebih-lebih lagi dalam era pasca pandemik, nilai kepedulian komuniti menjadi semakin penting,” ujarnya.
Sepanjang program selama dua hari bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang itu, sebanyak 1,585 kad KGC berjaya dikeluarkan, manakala 1,635 borang permohonan SCHB diterima.
Bagi pecahan harian, hari pertama menyaksikan 758 kad KGC dikeluarkan dan 771 permohonan SCHB diterima, manakala pada hari kedua sebanyak 827 kad KGC dikeluarkan serta 864 permohonan SCHB diterima.
Sementara itu, Pengerusi Pengelola Program, Kaunselor Kelvin Chia, berkata penganjuran tersebut mendapat respons yang sangat positif dan menggesa lebih ramai rakyat untuk memanfaatkan kemudahan kebajikan yang disediakan kerajaan demi kesejahteraan dan keharmonian masyarakat Sarawak.-EDISI UKAS