BAU: Penganjuran Jagoi Trail Run 2025 berjaya menarik penyertaan kira-kira 300 peserta termasuk pelari antarabangsa di Kampung Skibang di sini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep, berkata penganjuran acara itu sekali gus meletakkan kawasan Jagoi sebagai destinasi pelancongan berpotensi di peringkat antarabangsa.
“Acara tahunan ini bukan sahaja menarik minat penggemar larian denai, malah turut melonjakkan kedatangan pelancong ke kawasan Jagoi,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan di Dewan Baruoh Bowang, Kampung Skibang pada Ahad.
Acara tersebut dianjurkan oleh Alpha Sport Event dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu menambah, pihaknya berharap edisi seterusnya dapat dianjurkan dengan skala lebih besar melibatkan keseluruhan kampung di kawasan Jagoi.-EDISI UKAS