Warisan Baju Kuas Perkasakan Wanita Luar Bandar

Disiarkan pada 18 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SRI AMAN: Usaha memperkasakan wanita luar bandar melalui pemeliharaan warisan budaya terus diperkukuh dengan penganjuran Kursus Pembuatan Baju Kuas anjuran Cawangan PBB N.31 Bukit Begunan di sini.

Kursus selama dua hari itu dikendalikan oleh tenaga pengajar, Angeline Langie dengan matlamat memberi pendedahan kepada peserta khususnya golongan wanita mengenai teknik menghasilkan Baju Kuas, salah satu busana tradisional penting dalam Ngepan Iban Balau.

Ahli Dewan Negara, Senator Susan Chemerai Anding yang hadir menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta menegaskan bahawa penganjuran kursus sedemikian penting bagi memastikan ilmu pembuatan Baju Kuas tidak pupus ditelan zaman.

“Kursus ini bukan sahaja menghidupkan kembali warisan budaya masyarakat Iban, malah berupaya memperkasakan wanita luar bandar.

"Selain menjadi hobi, kemahiran ini juga mampu menjana pendapatan kerana nilai pasaran sehelai Baju Kuas mencecah sekitar RM400, bergantung pada corak dan kualitinya,” katanya baru-baru ini.

Beliau menambah, Baju Kuas wajar diangkat semula sebagai sebahagian daripada identiti budaya Iban Sarawak, khususnya masyarakat Iban Balau di Bukit Begunan.

Dalam pada itu, Senator Susan berkata, penganjuran kursus ini diyakini menjadi landasan penting dalam memperkukuh jati diri wanita Iban melalui warisan budaya selain membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat.

Majlis penutupan turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Politik Premier Sarawak, Roseline Mapong.-EDISI UKAS