SARIKEI: Khidmat kepada rakyat sentiasa menjadi tanggungjawab utama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii.
Beliau berkata, sepanjang lebih sembilan tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, sokongan berterusan daripada masyarakat berbilang kaum, termasuk ahli Persatuan Klan Chen, menjadi sumber kekuatan dan keyakinan untuk memperjuangkan pembangunan di Sarikei dan Meradong.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Penubuhan Persatuan Klan Chen Sarikei Sarawak Ulang Tahun Ke-30 di Dewan Besar SMK St Anthony Sarikei, pada Sabtu.
Antara projek besar yang berjaya direalisasikan ialah pembinaan jalan raya dan Jambatan Batang Rajang yang kini menghubungkan Sarikei dengan Tanjung Manis.
“Ini hasil sokongan rakyat kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang telah membawa kestabilan politik dan ekonomi serta menjamin kemajuan lebih besar untuk kawasan kita,” katanya.
Dalam majlis bersejarah itu, Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Klan Chen atas kejayaan mengekalkan perpaduan selama 30 tahun.
Sebagai tanda sokongan, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Klan Chen Sarikei untuk melaksanakan aktiviti tahunan mereka.
Hadir sama, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Datuk Wira Ding Huong Mieng, Penegerusi Pengelola Ting Ing Hui, Pengerusi Persatuan Klan Chen Sarikei Sarawak Ting Sing Teck dan Pengerusi Persatuan Klan Chen Sarawak Ting Kuong Hii. -EDISI UKAS