MUKAH: Program Sukaneka Gerakan Mesra Wanita Tellian (GEMA 57) menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ranting dan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine turut hadir memeriahkan program tersebut yang menjadi platform penting dalam mengukuhkan perpaduan komuniti.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Presiden Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak (PPMS), Tan Sri Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Faridah Osman dan Ketua Wanita PBB Tellian Jaidah Bujang.
Program berlangsung pada Ahad sekaligus menjadi acara tahunan yang bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan, kerjasama dan persahabatan dalam kalangan AJK Cawangan, AJK Ranting serta penduduk sekitar.
Sebanyak tujuh acara dipertandingkan, antaranya boling kelapa, anyam ketupat, isi air dalam botol, bawa ping pong dalam sudu, kepit belon sambil berlari, cedok gula batu dan kerusi muzik.
Selain menceriakan suasana, program sebegini turut memberi ruang kepada kaum wanita untuk bergiat aktif dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan. -EDISI UKAS