SARIBAS: Pertandingan Jom Bermain Hadrah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas disifatkan sebagai platform penting dalam usaha mengangkat martabat adat dan budaya tradisi masyarakat Melayu agar terus diwarisi oleh generasi muda.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, penganjuran program ini penting dalam memperkukuh identiti masyarakat Melayu di Saribas melalui seni hadrah yang kekal relevan hingga kini.
“Kawasan Saribas masih mengekalkan kompang sebagai alat muzik utama dalam persembahan hadrah.
“Elemen tradisional ini perlu terus dipertahankan agar anak muda dapat merasai, menghargai serta mewarisinya,” katanya semasa berucap merasmikan pertandingan berkenaan, pada Ahad.
Dalam pertandingan itu, Kumpulan Wahdatul Ummah dari Kampung Hilir Mangut muncul juara, manakala tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Persatuan Gerak Warisan dari Kampung Debak Laut, dan Kumpulan Nur Hidayah dari Kampung Bungin di tempat ketiga.
Enam kumpulan lain turut menerima saguhati.
Beliau dalam pada itu menyeru agar kumpulan hadrah terus diperkasakan sebagai aset budaya masyarakat.
“Pembangunan akan berjalan seiring dengan kekuatan warisan budaya kita. Apa yang penting, komuniti perlu berganding bahu memajukan kampung demi kesejahteraan bersama,” tambahnya.
Turut hadir menyaksikan pertandingan ialah Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Spaoh Danny Lim, Temenggong Piee Alwi dan Penghulu Abang Bawi. -EDISI UKAS