MUKAH: Kejohanan Wushu Taolu, Wushu Sanda serta Pertandingan Seni Tarian Naga dan Singa Peringkat Sarawak 2025 menutup tirainya dengan penuh warna-warni di Dewan Serbaguna Centexs Mukah, malam tadi.
Majlis penangguhan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi yang menzahirkan penghargaan kepada jurulatih, atlet, pegawai pertandingan, penaja dan sukarelawan atas komitmen memastikan kejohanan empat hari itu berjalan lancar.
Menurut beliau, wushu bukan sekadar seni mempertahankan diri, tetapi juga wadah membentuk disiplin, keseimbangan minda dan fizikal, selain mengeratkan semangat setiakawan.
Sementara itu, seni Tarian Naga dan Singa pula disifatkan sebagai simbol kekuatan, keberanian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Kejohanan kali ini menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan Guong Ming Sibu Team A muncul sebagai juara bagi kategori Sekolah Menengah manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Guong Ming Sibu Team B sebagai naib juara dan diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Saint Anthony Sarikei di tempat yang ketiga.
Bagi kategori terbuka, Kelab Wuze Tarian Singa dan Naga Serian dinobatkan sebagai juara manakala Kelab Liong Seng Tarian Singa dan Naga Kuching serta Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina Kuching Team Mera masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Abdul Yakub turut memuji peranan Kelab Wushu dan Tarian Naga serta Singa Mukah yang aktif menghantar penyertaan ke peringkat luar Sarawak sekali gus memperkukuh pembangunan seni budaya dan sukan tersebut.
Turut hadir dalam program ini adalah Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Pengerusi Kelab Tarian Naga dan Tarian Singa Medan Setia Raja Mukah Ho Ing Siong serta Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias.
Majlis penutupan diakhiri dengan harapan agar wushu serta seni Tarian Naga dan Singa terus berkembang dan melahirkan atlet yang mampu mengharumkan nama negeri serta negara di persada antarabangsa.-EDISI KHAS