KUCHING: Program Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025 yang menempuh jarak keseluruhan 1,885 kilometer sejak 4 Ogos lalu telah melabuhkan tirai dalam satu majlis penutupan penuh makna di Hotel Penview, pada Ahad.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof.
Program anjuran Pertubuhan Nadi Sihat dengan kerjasama Kementerian Perpaduan dan Jabatan Penerangan Malaysia itu melibatkan dua fasa utama dengan penyertaan seramai 48 peserta dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Fasa pertama bermula dari Kudat, Sabah hingga Batu Niah, Miri dengan penyertaan 23 peserta, manakala fasa kedua membabitkan 25 peserta yang mengayuh dari Batu Niah ke Kuching.
Kayuhan akan diteruskan esok (Isnin) dari Hotel Penview ke Telok Melano sebagai destinasi terakhir.
Menurut Dato Sri Fadillah, program berkonsepkan sukan rekreasi ini bukan sahaja menyemarakkan gaya hidup sihat, malah mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum melalui penyertaan bersama dari seluruh negara.
Kayuhan Perpaduan Sihat Borneo ini pernah dilaksanakan tahun lalu dengan laluan dari Tanjung Piai, Johor ke Kangar, Perlis.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan serta Presiden Pertubuhan Nadi Sihat Azlina Abdul Aziz.-EDISI UKAS