Syariah Asas Kukuhkan Institusi Keluarga

Disiarkan pada 17 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Institusi keluarga Islam disifatkan sebagai tunjang utama dalam membina masyarakat yang sejahtera dan harmoni, namun berdepan cabaran serius apabila statistik perceraian dan keganasan rumah tangga menunjukkan peningkatan kebelakangan ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, pada tahun 2024 sahaja sebanyak 7,116 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh negara berbanding 5,507 kes pada tahun sebelumnya.

Di Sarawak pula, seramai 1,124 pasangan Islam bercerai pada tahun sama, dengan punca utama ialah tiada persefahaman antara pasangan.

“Ini adalah cabaran sebenar yang perlu kita tangani bersama, bukan hanya melalui undang-undang, tetapi juga dengan pendidikan, bimbingan, dan sokongan sosial,” tegas beliau ketika merasmikan Wacana Khas Keluarga Islam Sarawak 2025 bertemakan “Syariah Asas Keluarga Sejahtera” di Dewan Suarah Miri, pada Ahad.

Beliau menegaskan, hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang berbuat baik kepada keluarga harus dijadikan panduan membentuk rumah tangga bahagia.

Katanya, syariah bukan sekadar undang-undang, tetapi asas penting dalam membina kasih sayang, kesetiaan dan kesejahteraan keluarga.

Dato Sri Nancy turut menyeru semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, guru KAFA, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan untuk menjadi ejen perubahan dalam memperkukuh institusi keluarga.

Menurutnya, KPWKM kini melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program kaunseling keluarga, kursus pra-perkahwinan yang diperkasa serta kempen kesedaran melalui Talian Kasih.

“Setiap keluarga yang kita kuatkan hari ini akan menjadi benteng negara esok. Setiap hati yang kita sentuh hari ini akan menjadi cahaya masa depan yang tidak akan padam,” ujarnya.

Majlis anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak itu turut menyaksikan pelancaran Unit Pemantauan Bahagian Sokongan Keluarga, penyampaian bantuan dana serta agihan Bakul Sakinah.

Hadir sama Ketua Hakim Syarie Sarawak Datu Awg Suhaili Ledi, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dato’ Abdul Shukur Abdullah serta barisan hakim Mahkamah Syariah dan ketua-ketua jabatan kerajaan.-EDISI UKAS