Program Bomba Komuniti Perkukuh Kesiapsiagaan, RM5,000 Diumumkan untuk Sokong Keselamatan Kebakaran di Batu Danau

Disiarkan pada 17 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat terhadap kebakaran terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Bomba Komuniti, Fire Point dan Kempen Keselamatan Kebakaran yang berlangsung di Dewan Kampung Limpasong, di sini pada Sabtu.

Program anjuran Pejabat Zon 7 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau itu melibatkan penyertaan 12 kampung sekitar kawasan berkenaan.

Dalam ucapannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang menekankan bahawa pencegahan kebakaran adalah tanggungjawab bersama dan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak berkuasa.

“Setiap individu, keluarga, dan komuniti mempunyai peranan penting. Amalan seperti memastikan pili bomba berada dalam keadaan baik, pemasangan peralatan keselamatan yang lengkap, serta langkah pencegahan seperti ‘good housekeeping’ boleh mengurangkan risiko kebakaran dengan ketara,” jelasnya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi menyokong pelaksanaan program tersebut.

Menurutnya, sumbangan itu diharap dapat meningkatkan keberkesanan penganjuran, memperluas capaian kepada lebih ramai komuniti, serta memastikan langkah keselamatan kebakaran diamalkan secara lebih sistematik.

Selain ceramah, taklimat dan demonstrasi keselamatan kebakaran, program ini turut memperkenalkan penubuhan Pasukan Bomba Komuniti yang akan berperanan memperkukuh kesiapsiagaan penduduk, memantau keselamatan, serta memberi respons awal ketika berlaku kecemasan.

Turut hadir, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Ketua Zon 7 JBPM Sarawak Ramlan Marajan, Ketua Masyarakat Bisaya Limbang, Penghulu Lalam Sambat bersama ketua-ketua kampung dan ahli Majlis Daerah Limbang.-EDISI UKAS