UKAS Ambil Inisiatif Sebar Usaha Pemuliharaan Penyu

Disiarkan pada 17 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mengambil langkah proaktif dalam menyebarkan kesedaran awam mengenai usaha pemuliharaan penyu di perairan negeri ini.

Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sea Turtle Conservation Project yang dianjurkan di Taman Negara Tanjung Datu dan Pulau Talang-Talang menjadi titik permulaan penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan pemuliharaan kepada masyarakat.

"Ini merupakan satu maklumat penting yang perlu kita sampaikan kepada masyarakat tentang usaha pemuliharaan yang dilakukan oleh pihak Lembaga Pengurusan Penyu, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Hutan Sarawak dan termasuk agensi-agensi yang menguruskan Taman Negara kita di Sarawak.

"Program ini menjadi pengalaman yang amat berguna kepada kita sebagai warga media untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat supaya masyarakat lebih menghargai kesejahteraan dan keindahan alam sekitar Sarawak," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa hari kedua program CSR Projek Sea Turtle Conservation di Pulau Talang-Talang Besar di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Pegawai Eksekutif Lembaga Pengurusan Penyu, Abdul Aziz, Pegawai Hidupan Liar merangkap Park Warden Taman Negara Tanjung Datu dan Pulau Talang-Talang, Mohamad Dzulkhairi Eneng serta Pengarah Borneo Glamping, Awang Saifeluddin.

Awang Putrayusrie menambah, pengalaman dua hari satu malam di lokasi tersebut telah memberikan pendedahan kepada warga UKAS untuk melihat sendiri kaedah pemuliharaan penyu termasuk proses penetasan telur.

"Kita telah berpeluang untuk melihat sendiri, bagaimana pemuliharaan penyu dilakukan termasuk proses penetasan telur.

"Pengalaman ini akan kita kongsikan kepada masyarakat melalui platform dan produk UKAS terutamanya mengenai program-program yang dilakukan pihak terbabit," ujarnya.

Program CSR itu bermula pada Sabtu di Taman Negara Tanjung Datu dengan memberi peluang kepada peserta menyaksikan proses penetasan telur penyu serta usaha pemuliharaan lain.

Peserta turut menjelajah biodiversiti di Pasir Antu Laut sebelum bersama-sama melaksanakan aktiviti pembersihan pantai di Telok Labuhan Gadung yang turut dikenali sebagai Pantai Penyu.-EDISI UKAS