MARUDI: Semangat dan komitmen penduduk luar bandar menjadi faktor utama dalam menjayakan pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Puyut dan Lubuk Nibung, sekali gus memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat setempat.
Antara projek yang memberi manfaat segera ialah pemasangan struktur gabion di Rumah Panjang Gawong, Selejau yang dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengatasi masalah banjir, hakisan serta runtuhan tebing yang sekian lama dihadapi penduduk.
Selain itu, hasil peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan usaha gotong-royong masyarakat, tiga buah rumah panjang baharu berjaya disiapkan lengkap dengan bekalan air bersih, elektrik serta kemudahan dewan serbaguna termasuk di Rumah Lalo dan Rumah Anja.
Dalam lawatan yang diadakan pada Sabtu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala menzahirkan penghargaan atas usaha gigih penduduk serta memberi jaminan sokongan terhadap pelaksanaan projek-projek tambahan pada masa depan.
Beliau turut meninjau Rumah Serakup SIDS Pampang Marudi bersama Pengerusi SIDS Cawangan Marudi, Cr Yanti Nyanggau yang disifatkan antara cawangan paling aktif dengan keahlian besar.
Rumah Serakup itu berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti wanita, meliputi mesyuarat, kelas tarian, senaman zumba serta pelbagai program kemasyarakatan.
Datuk Gerawat dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada Cr Yanti atas pelantikan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MKT) SIDS, yang dilihat mampu memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan sosial di kawasan tersebut.-EDISI UKAS
#UKASnews
#SaluranInformasiRakyat
#SarawakMajuMakmur