BINTULU: Lions Club of Bintulu Host menerima penghargaan tinggi sempena ulang tahun ke-50 penubuhannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata bahawa kelab itu merupakan kebanggaan masyarakat Bintulu kerana setengah abad menabur bakti kepada rakyat.
Berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah 50th Anniversary Charity Golf Tournament 2025 di Kelab Golf Bintulu, beliau berkata pencapaian Lions Club membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan mampu memberi impak besar kepada komuniti.
“Setengah abad khidmat kepada masyarakat adalah pencapaian yang sangat membanggakan. Tahniah kepada semua ahli, dahulu dan kini, kerana anda adalah kebanggaan Bintulu,” ujarnya.
Menurut beliau, penganjuran kejohanan golf amal itu bukan sahaja meraikan para pemenang, malah lebih utama menyemarakkan semangat memberi demi kebajikan bersama.
“Golf mungkin satu sukan santai, tetapi apabila digabungkan dengan amal, ia menjadi sesuatu yang jauh lebih bermakna.
“Inilah acara yang saya hargai, sukan menyatukan masyarakat, mengumpul dana dan memberi impak nyata,” tambahnya.
Dalam majlis sama, Johnny Pang turut menyalurkan sumbangan RM10,000 sebagai tajaan hadiah ‘Hole-in-One’ di Lubang 3.
Walaupun hadiah itu tidak dimenangi, beliau menegaskan dana berkenaan tetap diserahkan untuk melaksanakan projek komuniti Lions Club.
“Tiada kerugian, hanya keuntungan untuk masyarakat kita,” tegasnya.
Beliau juga percaya Lions Club Bintulu mampu terus melaksanakan pelbagai inisiatif bermanfaat merangkumi pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan komuniti untuk dekad akan datang.-EDISI UKAS
#UKASnews
#SaluranInformasiRakyat
#SarawakMajuMakmur