BETONG: Program ‘Juh Berami Ngail’ Tertutup Daerah Betong 2025 yang berlangsung di Tebingan Sungai Layar, Kampung Melayu Betong, berjaya menghimpunkan lebih 100 kaki pancing sekali gus menjadi platform mengeratkan perpaduan masyarakat setempat.
Majlis penangguhan program tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu yang turut menyampaikan peruntukan RM5,000 kepada Persatuan Penduduk Kampung Melayu Betong (PPKMB) sebagai tanda sokongan.
Menurut beliau, penganjuran aktiviti seperti ini bukan sahaja menyatukan penduduk pelbagai peringkat usia malah memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga ekosistem sungai agar kekal menjadi sumber rezeki komuniti.
“Selain pertandingan memancing, idea menjadikan kuih bingka sebagai produk ikonik Kampung Melayu Betong wajar diperkembangkan melalui kerjasama dengan institusi latihan tempatan seperti Kolej Komuniti dan CENTEXS,” katanya.
Tambah beliau, ia juga boleh dijadikan perusahaan kecil dan sederhana yang berpotensi menembusi pasaran luar secara digital.
Pertandingan memancing menjadi acara tumpuan dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM3,800.
Mohammad Zuhairi Daud dinobatkan sebagai juara, manakala Marzuki Madaud dan Aini Kipli masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Turut menarik perhatian ialah Pertandingan Masakan & Hiasan Kuih Bingka yang dimenangi Dayang Rajemah Abang Karim serta pertandingan dart yang menceriakan suasana program.
Program anjuran PPKMB dengan kerjasama Lembaga Khairat dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) itu dihadiri lebih 150 orang termasuk pemimpin komuniti setempat.-EDISI UKAS