MUKAH: Mesyuarat Exco Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak (PPMS) sesi pertama 2025 menekankan kepentingan kesatuan dan kerjasama bagi pembangunan komuniti Melanau.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Presiden PPMS Tan Sri Dato Sri Dr Muhammad Leo Toyad itu yang turut dihadiri Timbalan Presiden PPMS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi serta ADUN Tellian Royston Valentine bersama barisan kepimpinan persatuan yang bernaung di bawah PPMS.
Dalam ucapannya, Tan Sri Dr Muhammad Leo menegaskan kejayaan dan kemajuan komuniti Melanau amat bergantung kepada penyertaan aktif semua pihak.
"Kerjasama erat antara persatuan, kerajaan dan masyarakat merupakan kunci utama untuk mencapai pembangunan yang berkesan dan mampan," katanya.
Beliau turut menggariskan beberapa inisiatif utama yang akan diberi tumpuan termasuk memperkukuh ekonomi komuniti, menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat secara menyeluruh.
Dalam pada itu, mesyuarat ini juga menjadi platform bagi setiap persatuan di bawah PPMS untuk berkongsi pandangan serta merancang langkah strategik demi memastikan pembangunan komuniti Melanau dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan. -EDISI UKAS