SIBU: Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) mengumumkan pakej promosi khas untuk jururawat dengan tawaran tiket penerbangan serendah RM138 sehala bagi laluan Kuala Lumpur–Sibu dan Kuala Lumpur–Bintulu.
Perkara ini diumumkan oleh Menterinya Dato Sri Tiong King Sing dalam Majlis Pelancaran Pakej Pelancongan Istimewa Jururawat & Majlis Makan Malam Penghargaan Anggota Kesihatan Bahagian Sibu 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Sabtu.
Menurutnya, promosi itu sah untuk tempahan dari 1 hingga 13 September 2025 dengan tempoh perjalanan bermula 1 September hingga 31 Disember 2025 menggunakan kod promosi MALAYSIA68.
“Jururawat hanya perlu mengisi nombor pendaftaran masing-masing ketika membuat tempahan. Saya juga akan berbincang dengan pihak berkaitan supaya doktor dan ahli farmasi turut menerima manfaat yang sama,” katanya.
Tambahnya, Persatuan Hotel Malaysia menawarkan diskaun 10 peratus untuk penginapan hotel di Sibu, manakala usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan potongan harga lebih tinggi bagi hotel di Kuala Lumpur.
Ujarnya, taman tema utama seperti Sunway Lagoon, Genting Skywalk dan beberapa destinasi pelancongan lain turut menawarkan diskaun khas kepada petugas kesihatan dan keluarga mereka.
Dalam pada itu, Dato Sri Tiong menyentuh isu kesihatan awam di Sibu yang berdepan penularan malaria, dan meminta pihak berwajib memberi perhatian serius.
“Saya mohon jabatan kesihatan membantu melaksanakan aktiviti penyemburan (fogging) di kawasan terlibat. Ini penting kerana masyarakat masih bimbang akan risiko malaria,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bintulu itu berkata, majlis ini bukan sahaja sebagai penghargaan kepada wira komuniti, malah sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara semua bahagian kesihatan. -EDISI UKAS