BELAGA: Kehadiran lebih 350 orang, melibatkan pelajar, ibu bapa, guru dan komuniti setempat memeriahkan Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 Peringkat Daerah Belaga yang berlangsung di Dewan Masyarakat Belaga pada Sabtu.
Ekspo ini dianjurkan oleh Yayasan Sarawak dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Belaga, selaras dengan penganjuran serentak di 30 lokasi di seluruh negeri.
Majlis penutupan ekspo tersebut disempurnakan oleh Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah, mewakili Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan, ekspo ini memberi manfaat besar kepada semua lapisan masyarakat, khususnya pelajar yang memerlukan maklumat tepat mengenai hala tuju pendidikan dan kerjaya.
“Saya percaya pendedahan ini membuka minda pelajar mengenai pelbagai peluang pendidikan dan bantuan yang sesuai dengan minat mereka.
“Kehadiran para pempamer yang sanggup datang jauh ke Belaga amat bermakna kepada masyarakat. Pendidikan adalah tanggungjawab bersama dan merupakan kunci masa depan yang lebih baik,” katanya.
Tambahnya, ekspo ini memberi fokus kepada tiga komponen utama iaitu Ekspo Pendidikan Sarawak, Hari Kerjaya dan Program Kesedaran Pendidikan dengan para pelajar berpeluang mendapatkan maklumat terus daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, selain sesi bimbingan kaunseling, ceramah pemilihan kursus, serta pendedahan mengenai skim penajaan.
Pada majlis itu juga, Yayasan Sarawak menyumbangkan RM73,000 untuk bantuan pakaian seragam melibatkan 375 penerima, selain RM28,000 biasiswa tempatan kepada 35 pelajar.
Hadiah dan sijil turut disampaikan kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM 2024. -EDISI UKAS