Kuala Balingian Semarakkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025

Disiarkan pada 17 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BALINGIAN: Suasana penuh semangat patriotisme mewarnai Dewan Masyarakat Kampung Kuala Balingian apabila Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Fasa 2 singgah sebagai lokasi ke-17 persinggahan program berkenaan pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi menyifatkan pemilihan Kuala Balingian sebagai salah satu lokasi konvoi sebagai penghormatan besar buat masyarakat setempat.

Menurutnya, sambutan hangat masyarakat terhadap konvoi KMJG membuktikan semangat cintakan negara masih kukuh dan terus subur dalam kalangan rakyat.

“Semoga KMJG di Kampung Kuala Balingian ini menjadi inspirasi untuk kita terus mempertahankan perpaduan dan keharmonian, asas kekuatan negara kita yang tercinta,” katanya.

Mengulas tema sambutan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, Abdul Yakub menegaskan konsep MADANI amat signifikan kerana menekankan nilai kasih sayang, keadilan sosial dan pembangunan inklusif.

Katanya, ia selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030 yang menitikberatkan integrasi sosial, pemikiran progresif dan pembangunan ekonomi seimbang. -EDISI UKAS