BINTULU: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak terus memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar melalui penganjuran Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti yang berlangsung di Kampung Kuala Nyalau, Bintulu.
Program ini berjaya menarik penyertaan lebih 200 penduduk tempatan yang hadir bagi menyokong inisiatif hijau dan memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program, termasuk gotong-royong pembersihan kawasan pantai, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, dan kempen pengumpulan minyak masak terpakai.
Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada masyarakat tentang amalan kelestarian, malah menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam menjaga kebersihan dan kesihatan persekitaran mereka.
Majlis penutupan program telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Dato Majang Renggi.
Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan penting masyarakat dalam menyokong dasar kerajaan berkaitan pemuliharaan alam sekitar serta menyeru agar nilai-nilai kelestarian diterapkan dalam kehidupan seharian.
Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Controller (Pengurusan) Kenny Poon serta tetamu jemputan lain.
Kehadiran para pemimpin ini mencerminkan sokongan padu terhadap usaha memperkasakan komuniti luar bandar dalam isu alam sekitar.
Menurut NREB Sarawak, program seumpama ini merupakan sebahagian daripada pendekatan berterusan untuk mendekati masyarakat akar umbi dan menyampaikan mesej pemuliharaan secara langsung.
Selain itu, melalui kerjasama yang erat antara agensi kerajaan dan komuniti setempat, diharapkan dapat memberi kesedaran terhadap isu pencemaran serta perubahan iklim dapat ditingkatkan secara menyeluruh.
Penduduk kampung berharap agar lebih banyak aktiviti seumpama ini dapat diadakan pada masa akan datang.
Mereka percaya bahawa pendidikan alam sekitar yang berterusan mampu melahirkan generasi yang lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Program ini secara keseluruhannya berjaya mencapai objektifnya dalam menyemai semangat cintakan alam sekitar serta memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
NREB Sarawak komited untuk meneruskan usaha mendidik dan melibatkan komuniti dalam menjayakan agenda pembangunan mampan negeri.-EDISI UKAS