Model Pinjaman Tanah Bagi Penanaman Padi Terbukti Berjaya

Disiarkan pada 17 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


TANJUNG MANIS: Model pinjaman tanah bagi projek penanaman padi telah terbukti berjaya di Kuala Rajang yang membolehkan pengusaha dan pemilik tanah dalam situasi menang-menang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, tanah orang kampung di kawasan ini telah diusahakan oleh pihak swasta melalui satu jaringan kerjasama antara kedua-duanya dengan pihak swasta melabur untuk membangunkan tanah tersebut untuk penanaman padi.

"Hal ini kerana (tanah) tidak digunakan dan diusahakan oleh orang kampung disebabkan kos yang tinggi, maka dengan adanya pihak swasta membantu meneruskan penanaman padi secara moden menggunakan alatan-alatan canggih meningkatkan ekonomi 'subscale'.

"Ini juga membolehkan pemilik tanah pun mendapat rezeki daripada penyewa atau pemajak antara pemilik tanah dengan pihak swasta.

"Itulah satu model yang sudah berjaya di sini bermaksud situasi 'win-win' di mana pihak pengusaha dan pemilik tanah mendapat pendapatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sesi sidang media selepas melawat sekitar Jelapang Padi Tanjung Manis di Sawah Padi Ta Ann Padihead pada Ahad.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Padihead Sdn Bhd bersama rakan-rakannya yang diketuai oleh Dato K.H. Wong telah berjaya menghasilkan empat tan padi yang dihasilkan selama dua musim dalam satu tahun dengan 865 ekar tanah dibangunkan.

Ujarnya, potensi penanaman padi di Kuala Rajang mampu mencecah sehingga 10,000 hektar termasuk kawasan Daro hingga Pulau Bruit.

"Kita di Sarawak kalau dapat menanam 14,000 hektar seluruh Sarawak dapat mengeluarkan beras kira-kira 240,000 tan metrik yang mencukupi untuk kegunaan dalaman.

"Kalau kita tambah lagi 14,000 hektar, maka akan jadi dua kali ganda sehingga 480,000 tan metrik yang kita akan luaskan kira-kira pada tahun 2030.

"Mungkin kita boleh eksportkan beras yang lain selain daripada kegunaan kita sendiri," jelasnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Sirai Daha serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS