BETONG: Festival Tari dan Lagu Melayu Asli (FTLA) Ke-35 Peringkat Zon Tengah berjaya menyerlahkan bakat baharu dalam bidang seni suara dan tarian apabila berlangsung penuh meriah di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong, malam tadi.
Penganjuran oleh Majlis Seni Sarawak (MSS) itu menyaksikan penyertaan peserta dari pelbagai kawasan zon tengah Sarawak yang tampil dengan persembahan memukau, sekali gus memartabatkan seni budaya tradisional Melayu di negeri ini.
Dalam pertandingan kategori lagu Melayu asli, Noorainina Safiah Ahmad Zaidi muncul juara wanita manakala Mohamad Nizam Jamil dinobatkan sebagai juara lelaki.
Bagi kategori tarian pula, kumpulan Sibu D Tari meraih tempat pertama, diikuti Canda Kirana dan ASTALA.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu yang hadir mewakili Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu.
Beliau dalam ucapannya berkata festival ini bukan sahaja platform mencungkil bakat baharu, malah berperanan memperkukuh perpaduan masyarakat melalui seni dan budaya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas, wakil Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak Easter Melebeh, Temenggong Masyarakat Cina Bahagian Betong Kueh Tu Teck serta Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Betong Piee Alwi.
Festival ini sekali lagi membuktikan bahawa warisan seni budaya terus mendapat tempat di hati masyarakat dan wajar diteruskan sebagai wadah penyatuan generasi kini dan akan datang.-EDISI UKAS