Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 Sri Aman Tarik 500 Pelajar, Ibu Bapa

Disiarkan pada 17 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SRI AMAN: Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman berjaya menghimpunkan kira-kira 500 pelajar dari lima buah sekolah menengah sekitar Bandar Simanggang bersama ibu bapa masing-masing.

Timbalan Menteri Pendidikan, Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis telah menyempurnakan perasmian program tersebut di sini, pada Sabtu.

Dalam ucapannya, beliau menyeru pelajar dan ibu bapa agar tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat secara terus daripada institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyertai pameran, khususnya berkaitan peluang melanjutkan pelajaran dan kemudahan bantuan kewangan.

“Kerajaan Sarawak amat komited membantu anak-anak Sarawak dalam pendidikan melalui sokongan kewangan Yayasan Sarawak.

“Terima kasih juga kepada PPD Sri Aman kerana menjadi penganjur program yang memberi manfaat besar kepada komuniti di sini,” katanya.

Antara IPT yang mengambil bahagian termasuk Yayasan Sarawak, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Kolej Universiti i-CATS, Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Sarawak Skills dan Kolej Laila Taib (KLT) Sibu.

Pada majlis itu, seramai 50 pelajar cemerlang 2024 menerima insentif Yayasan Sarawak, melibatkan 29 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 21 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Selain itu, Yayasan Sarawak turut menyerahkan Mock Cheque berjumlah RM285,800 bagi Bantuan Pakaian Seragam kepada 40 sekolah serta RM60,800 kepada 78 pelajar bawah PPD Sri Aman.-EDISI UKAS