Ekspo Pendidikan Sarawak di Lundu Buka Peluang Lebih Luas, Fokus Akses Pendidikan Berkualiti Untuk Semua

Disiarkan pada 17 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 peringkat Daerah Lundu yang berlangsung di CENTEXS Lundu menjadi platform penting menghimpunkan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan Sarawak serta ratusan pelajar lepasan SPM dan STPM bagi mendapatkan maklumat laluan pendidikan serta kerjaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan menegaskan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

“Ekspo ini bukan sekadar pameran, sebaliknya platform penting mendedahkan pelajar kepada program yang ditawarkan universiti-universiti milik kerajaan Sarawak—pilihan yang lebih dekat, lebih menjimatkan dan semakin berkualiti.

“Langkah ini sekali gus mengurangkan kebergantungan merantau ke Semenanjung yang menuntut kos lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ekspo tersebut pada Sabtu.

Beliau turut menekankan inisiatif utama kerajaan Sarawak iaitu pelaksanaan pendidikan percuma di universiti milik kerajaan negeri bermula tahun 2026, sebagai jaminan tiada anak Sarawak tercicir kerana kekangan kewangan.

Dalam pada itu, Azizul merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Lundu sebagai pengelola program serta menggalakkan pelajar memanfaatkan reruai pameran termasuk Yayasan Sarawak yang menyediakan maklumat bantuan kewangan mengikut kelayakan.

Beliau turut menggesa pelajar Tingkatan 5, lepasan SPM dan STPM untuk bertanya, mencari maklumat dan merancang hala tuju masa depan.

“Harapan saya agar daerah Lundu dapat melahirkan lebih ramai cendekiawan —daripada doktor, jurutera hingga pendidik—yang mengharumkan nama komuniti,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pegawai Pendidikan Daerah Lundu Bahron Othman, Pegawai Daerah Lundu Awang Yusup Awang Mostapha, Wakil Pengarah Yayasan Sarawak Dacy Minus dan Ketua Kampus CENTEXS Lundu Dr. Nor Ashikin Abdul Rahman.-EDISI UKAS