Pendidikan Berkualiti Teras Pembangunan Modal Insan Sarawak

Disiarkan pada 17 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BAU: Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa komited memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dinikmati semua anak Sarawak tanpa mengira lokasi bandar atau luar bandar.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, komitmen tersebut dizahirkan menerusi pelbagai program termasuk penganjuran Ekspo Pendidikan Sarawak yang menjadi platform penting dalam membimbing hala tuju pendidikan dan kerjaya generasi muda.

“Ekspo ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan bakat serta modal insan berdaya saing. Ia juga menjadi titik tolak penting ke arah masa depan yang lebih gemilang untuk anak-anak Sarawak melalui pendidikan, kemahiran dan pembangunan kerjaya,” katanya ketika merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 di Dewan Panglima Kulow, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau, pada Sabtu.

Dato Henry turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, Yayasan Sarawak serta institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Kolej Universiti i-CATS, Kolej Laila Taib, Sarawak Skills dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).

Katanya, kejayaan penganjuran ekspo ini juga tidak terlepas daripada sokongan padu pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negeri.

Dalam majlis perasmian itu, Dato Henry turut menyampaikan anugerah kepada SMK Bau, guru dan pelajar atas pencapaian cemerlang mereka.

Penerima anugerah ikon guru 2024 adalah Chung Sze Meang dari SMK Lake, Liew Tho Lip dan Annie Kon May Join dari SMK Bau serta Julia Atien dari Sekolah Kebangsaan (SK) Skibang.

Turut disampaikan anugerah kepada 18 pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Sementara itu, SMK Bau turut menerima anugerah pencapaian terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 apabila 17 pelajarnya menerima anugerah cemerlang dalam peperiksaan awam itu, manakala SMK Lake, SMK Paku dan SMK Singai masing-masing tiga penerima.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pegawai Pendidikan Daerah Bau Edward Ngelai dan Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi.-EDISI UKAS