TANJUNG MANIS: Sarawak menyatakan pendirian tegas untuk terus menjaga keselamatan perairan wilayah ini terutamanya daripada kegiatan penangkapan ikan secara haram daripada negara-negara jiran.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, antara pendekatan yang digunakan setakat ini adalah penanaman tukun tiruan dan pelaburan yang besar dalam Sarawak Coastguard.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak telah melaburkan sebanyak RM70 juta untuk tujuan penanaman tukun tiruan yang bukan sahaja berfungsi sebagai ekosistem hidupan laut malah dapat merosakkan pukat tunda pendatang asing yang melakukan penangkapan ikan secara haram di kawasan terbabit.
“Kalau kita tiada tukun tiruan ini, ‘troller’ dari negara luar yang angkut semua ikan-ikan di kawasan kita kerana kita kaya dengan ikan, sehinggakan nelayan dari luar negara datang curi ikan kita yang disebut penangkapan ikan secara haram dan kita akan tangkap pihak yang berbuat demikian.
“Yang datang kebanyakan dari negara Vietnam dan Thailand, jadi kita buat tukun tiruan ini dan ‘troller’ mereka tidak dapat menangkap ikan kerana tukun ini akan mengoyakkan pukat mereka atau putus disebabkan berat tukun tiruan berkenaan,” ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Safari Memancing Tanjung Manis, di sini, pada Ahad.
Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa kerajaan Sarawak bercadang untuk menambah dua buah lagi kapal Sarawak Coastguard berukuran 50 meter bagi memantapkan lagi keselamatan di perairan Sarawak.
“Dua buah kapal lagi hendak ditambah berukuran 50 meter untuk kita sama-sama menjagakan harta kita, termasuk ikan,” jelas beliau lagi.
Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan, meskipun kerajaan Sarawak membelanjakan jumlah yang besar untuk tujuan ini, namun usaha ini dapat membantu komuniti nelayan sepanjang perairan Sarawak dari Lawas hingga ke Sematan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abdul Wahab, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (PUSAKA) Zainal Abidin Abdullah, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS