KUCHING: Yayasan OBYU tampil dengan inisiatif tanggungjawab sosial korporat apabila menyumbangkan sebuah van jenazah kepada Masjid Darus Sakinah, Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa.
Penyerahan van tersebut dilakukan oleh Pengerusi Lembaga Yayasan OBYU, Datu Dr Hatta Solhi bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Dato Ahmadi Yusoff, dengan disaksikan Timbalan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian serta Pengasas Kumpulan OBYU, Tan Sri Bustari Yusuf pada Ahad.
Turut hadir sama ialah Ketua Kaum, Pengerusi Kampung, wakil pihak masjid serta penduduk kampung yang beramai-ramai memeriahkan majlis berkenaan.
Majlis tersebut turut menyaksikan perasmian bilik pengurusan jenazah di masjid berkenaan, sekali gus menyediakan kemudahan lengkap kepada masyarakat Islam setempat yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada van jenazah dari Petra Jaya.
Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata sumbangan tersebut membuktikan nilai kerjasama dalam masyarakat.
“Hari ini kita bukan sahaja menyaksikan penyerahan van jenazah dan perasmian bilik pengurusan jenazah, tetapi yang lebih penting ia mencerminkan semangat kerjasama kita semua untuk membina Sarawak yang lebih baik,” katanya.
Sumbangan ini merupakan yang ketiga selepas dua van jenazah disalurkan oleh Yayasan OBYU kepada masjid di Petra Jaya dan Lundu sebelum ini.
Sejak ditubuhkan pada 2018, Yayasan OBYU telah menyalurkan kira-kira RM10 juta bagi pelbagai inisiatif termasuk pendidikan, aktiviti keagamaan dan bantuan komuniti kurang berkemampuan.
Antara projek utamanya ketika ini ialah pembangunan Masjid Diraja di Eco Ardence, Setia Alam, Selangor, yang mampu menampung 3,600 jemaah.-EDISI UKAS