Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 Buka Peluang Cerah untuk Generasi Muda

Posted on 16 Aug 2025
Source of News: UKAS


SIBU: Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 kembali dengan lebih meriah, menghimpunkan ribuan pelajar dan ibu bapa di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Sibu.

Acara tahunan anjuran Yayasan Sarawak ini dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, mewakili Premier Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan disiarkan serentak ke 29 lokasi lain di seluruh negeri pada Sabtu.

Dengan sasaran lebih 19,500 peserta di 30 lokasi, ekspo ini menjadi platform utama bagi pelajar lepasan sekolah dan masyarakat umum untuk meneroka peluang pendidikan, penajaan, dan bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri.

Antara tarikan utama ekspo ini termasuk pameran institusi pendidikan milik kerajaan negeri seperti Swinburne University, Curtin University, UTS, i-CATS University College, Kolej Laila Taib, CENTEXS, Sarawak Skills dan Yayasan Sarawak International School.

Selain itu, ceramah kerjaya dan sesi interaktif bersama agensi kerajaan dan swasta turut diadakan, di samping program kesedaran ibu bapa tentang kepimpinan keluarga dan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Hadiah Pelajar Cemerlang kepada lebih 1,900 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) serta simbolik penyerahan Biasiswa Tempatan dan Bantuan Pakaian Seragam Sekolah kepada puluhan ribu pelajar di seluruh Sarawak.

Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin menekankan bahawa ekspo ini bukan sekadar pameran, tetapi peluang sebenar untuk pelajar mendaftar terus ke institusi pendidikan dan menerima penajaan, selaras dengan visi Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

Yayasan Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan ekspo ini, termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, institusi pendidikan dan agensi berkaitan. -EDISI UKAS