Jualan Agro MADANI Bantu Perkukuh Ekonomi Tani di Meradong

Posted on 17 Aug 2025
Source of News: UKAS


BINTANGOR: Penganjuran Jualan Agro MADANI (JAM) di Bintangor menjadi platform penting dalam memacu pembangunan sektor agromakanan yang mampan serta meningkatkan pendapatan petani dan usahawan tani di kawasan Meradong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, inisiatif ini bukan sahaja membantu memperkukuh ekonomi masyarakat tani malah memberi jaminan bekalan makanan kepada rakyat, khususnya di Sarawak.

“Saya berharap agar program seperti ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak, meningkatkan pendapatan dan memajukan lagi bidang pertanian di kawasan Meradong.

“Marilah kita bersama-sama menyokong serta memperkukuhkan agenda pembangunan tani demi kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat kita,” katanya semasa merasmikan program tersebut di hadapan Pusat Pemprosesan Produk Kering Beku Hasil Pertanian Bintangor, pada Sabtu.

Program dua hari yang bermula 15 Ogos itu merupakan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarikei dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Meradong, selain turut disertai PPK Sarikei, Persatuan Nelayan Kabong, Agrobank Sarikei serta usahawan tani bimbingan PPK.

Antara tawaran menarik yang mendapat sambutan orang ramai termasuk Pek Kombo RM10 (harga asal RM15), produk kering beku PPK Meradong RM15/kombo (harga asal RM30), ayam segar RM7 sekilogram dan telur ayam RM15.

Selain itu, pelanggan juga menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

Agrobank turut mengambil bahagian dengan menawarkan pakej insurans Takaful serendah RM10 setahun, pinjaman mikro kepada usahawan serta cabutan bertuah bernilai RM100 hingga RM200 dengan pembelian serendah RM5.-EDISI UKAS