DARO: Inisiatif pendidikan percuma yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg baru-baru ini akan memberi impak besar kepada pelajar di seluruh negeri, terutamanya di kawasan luar bandar, untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata ia manifestasi komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat, khususnya generasi muda, tidak tercicir dalam pendidikan.
“Dengan adanya pendidikan percuma ini, ibu bapa tidak lagi terbeban dengan kos pengajian tinggi anak-anak mereka.
“Sebaliknya, pelajar boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran bagi mencapai kecemerlangan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya berucap merasmikan majlis di Dewan Masyarakat Daro pada Sabtu.
Berucap lanjut, katanya majlis anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro dengan kerjasama pelbagai agensi ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang pendidikan tinggi, hala tuju kerjaya, serta kesedaran kepentingan pendidikan sebagai asas pembangunan modal insan.
Jelas beliau, program ini dijangka memberi manfaat besar kepada pelajar dan ibu bapa di daerah Daro melalui pendedahan awal tentang hala tuju pendidikan dan kerjaya, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat berilmu, berdaya saing dan seimbang dari segi akademik serta sahsiah.
Pada majlis sama, Safiee turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada 13 pelajar cemerlang SPM dan seorang pelajar STPM 2024 di bawah PPD Daro, selain menyampaikan Bantuan Pakaian Seragam serta Biasiswa Tempatan Yayasan Sarawak kepada pelajar yang layak.
Beliau juga menyerahkan sumbangan geran kepada PIBG SK Kampung Pangtray selaku Pengelola Program Cemerlang (Pro-CEM) Tahun 6, yang merupakan gabungan enam buah sekolah rendah di tanah besar Daro bagi memperkukuhkan prestasi akademik murid. - EDISI UKAS