Isu Pemilikan Tanah Sukarkan Pelaksanaan Grid Elektrik

Disiarkan pada 01 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Isu pemilikan tanah dipercayai menjadi halangan dalam usaha membawa bekalan elektrik ke kawasan pedalaman.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kerajaan melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) telah bercadang untuk menyambungkan grid elektrik negeri ke kawasan Lawas dan Limbang bagi memperbaiki infrastruktur tenaga di kawasan tersebut.
Namun begitu ujarnya, konflik berkaitan hak pemilikan tanah telah menyukarkan pelaksanaan cadangan berkenaan.
"Isu pemilikan tanah perlu ditangani dengan teliti dan berhati-hati bagi mencapai kerjasama yang baik antara pemilik tanah, pihak berkuasa dan kontraktor," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu berkata demikian semasa berucap menyempurnakan majlis berbuka pasa anjuran SEB, di sini pada Ahad.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, pemilikan tanah yang jelas dan sah membolehkan pelaksanaan projek berjalan dengan lancar, cekap dan berkesan.
"Kita tidak rampas begitu sahaja, kalau pemilik tanah ada bukti, kita hormat kerana mereka ada hak, dan kita sedia membayar pampasan dan berbincang.
"Ada kontraktor yang dihalang di jalan sehingga merumitkan proses dan pelaksanaan projek. Jika keadaan ini berterusan kita akan ada masalah untuk meluaskan lagi elektrik ke pedalaman dan ia akan melambatkan lagi proses untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat kita.
"Saya harap ketua-ketua masyarakat dapat menyampaikan kepada anak buah masing-masing tentang masalah ini agar kemajuan dan kemudahan dapat kita teruskan sampai ke pedalaman.
"Kita mempunyai rancangan bukan sahaja untuk menghubungkan Lawas dan Limbang ke grid elektrik negeri, malah kita juga mempunyai pelan untuk memanjangkan liputan elektrik meliputi semua rumah panjang dan kampung, seperti di Lawas ini, sampai ke Ba'kelalan kerana kita tidak mahu ada masyarakat yang ketinggalan,"tambahnya.
Hadir sama di majlis itu ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi serta Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.-Edisi UKAS
#UKASnews
#SaluranInformasiRakyat
#SarawakMajuMakmur