Pendidikan TVET Diperkukuhkan, Lengkapkan Pelajar Dengan Kebolehan ‘Multi-Tasking’

Posted on 16 Aug 2025
Source of News: UKAS


BINTANGOR: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini diperkukuhkan bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan kebolehan ‘multi-tasking’ selaras keperluan pasaran kerja terutama untuk memenuhi sektor perindustrian negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata Kementerian Sumber Manusia membangunkan Sistem Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) sebagai saluran utama ambilan kursus TVET seluruh Malaysia melalui dua kaedah pengambilan pelajar baru iaitu Pengambilan Perdana Dan Sepanjang Tahun.

Katanya, sehingga 31 Disember 2024, terdapat 1,345 institusi TVET di Malaysia meliputi lebih 1,200 institusi awam di 12 kementerian, 24 institusi kerajaan negeri dan 652 institusi swasta.

“Kemasukan ke program TVET meningkat daripada 166,577 pada 2022 kepada 212,022 pada 2024, dengan enrolmen keseluruhan naik daripada 394,976 pada 2022 kepada 436,285 pada 2024.
Kadar kebolehpasaran graduan terkini mencapai 94.5%.

“Melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan giat membangunkan TVET dengan menekankan kesejahteraan rakyat, peningkatan pendapatan, pendidikan dan pembangunan, serta memperkukuh kerjasama strategik antara institusi TVET dan industri bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi.”

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian EKSPO dan Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Sarawak anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Meradong Tahun 2025 di Dewan Chen Ling Mei SMK Kai Chung pada Sabtu.

Jelasnya, TVET membuka peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran.

Dalam pada itu, Datuk Ding menyarankan agar pelajar menguasai kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) sebagai nilai tambah, serta memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di Sarawak yang penting bagi komunikasi, khususnya di syarikat global, agar lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.

Sempena EKSPO dan Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Meradong, Datuk Ding Turut menyampaikan Sijil kecemerlangan kepada 41 orang Pelajar Lepasan SPM Dan STPM Daerah Meradong Tahun 2024 yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. - EDISI UKAS