SARIBAS: Beberapa perkembangan tentang pembangunan di kawasan sekitar Daerah Kecil Debak telah digiatkan dalam memastikan kawasan tersebut terus menerima kemajuan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, tiga projek kini giat dijalankan.
"Antara projek yang dijalankan adalah penambahbaikan Klinik Kesihatan Debak di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
"Selain itu, kita juga dalam perancangan untuk pembinaan jalan baru dari Rumah Panjang Budak ke Debak Laut.
"Pejabat Daerah Kecil Debak yang baharu pula kini dalam pembinaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah-Rumah Panjang DUN Saribas di Pusat Khidmat DUN N.35 Saribas di sini pada Selasa.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu, beliau juga akan mempertimbangkan beberapa permohonan JKKK Rumah Panjang yang meminta penambahbaikan kemudahan baik dari segi kemudahan parkir dan infrastruktur asas.
Pada majlis tersebut, Datuk Mohammad Razi telah menyerahkan Sumbangan Cek MRP kepada 14 JKKK Rumah Panjang yang terdapat di DUN Saribas.
Menurut beliau, sumbangan keseluruhan ialah sebanyak RM98,000 ini telah diserahkan kepada setiap Tuai Rumah yang telah hadir pada sesi penyerahan tersebut.
"Sumbangan ini ialah untuk membantu setiap JKKK Rumah Panjang membuat persiapan Perayaan Hari Gawai yang bakal disambut tidak lama lagi," jelasnya. -EDISI UKAS