Sesi Libat Urus STEM Daerah Song Galak Pelajar Ceburi Bidang Sains dan Teknologi

Posted on 15 Aug 2025
Source of News: UKAS


SONG: Pejabat Daerah Song dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Song menganjurkan Sesi Libat Urus Pembangunan STEM bertempat di Balai Raya Daerah Song sebagai langkah awal memperkukuh minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata sesi libat urus ini merupakan permulaan penting bagi daerah tersebut dalam mengembangkan pendidikan STEM.

“Pengetua, guru besar, guru sains dan matematik, pelajar aliran sains serta ibu bapa hadir bagi memberi maklum balas yang membina.

“Tujuannya untuk memupuk minat anak-anak kita terhadap STEM dan mendorong ibu bapa supaya menggalakkan mereka memilih bidang ini,” katanya ketika merasmikan program tersebut pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuhkan silibus STEM agar generasi muda Sarawak mampu bersaing dalam era moden, seterusnya memanfaatkan peluang pekerjaan yang semakin berkembang di negeri ini.

Program tersebut turut diisi dengan sesi perkongsian oleh Ikon Muda Sarawak dan CEO TIZA AI, Franklin Lingga Abun yang memberi inspirasi kepada para pelajar melalui idea serta pengalaman beliau dalam bidang teknologi di samping sesi soal jawab yang diadakan kemudiannya membolehkan peserta melontarkan pelbagai cadangan dan persoalan berkaitan pendidikan STEM.

Hadir sama, Pegawai Daerah Song Harry Bruce Edwin, Pegawai Pendidikan Daerah Song Itam Linggi, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Malaysia Ambrose Abong Bugek serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Wilson Awan.-EDISI UKAS