Royston Seru Pelajar Jadi Duta Anti-Buli

Disiarkan pada 15 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menyeru pelajar-pelajar di Sarawak untuk tampil menjadi duta anti-buli dalam usahasama membanteras gejala berkenaan di peringkat awal.

Menurut beliau, mesej ini perlu disebarkan kepada rakan-rakan agar budaya buli dapat dihapuskan memandangkan kes berkenaan semakin menggusarkan pada hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penutupan Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah (MSS), di sini, pada Khamis.

Menyentuh mengenai kejohanan berkenaan, beliau menyatakan kepercayaan kepada pelajar sekolah yang terlibat yang menunjukkan potensi bukan sahaja untuk mewakili Sarawak, malah mengharumkan nama Malaysia suatu hari nanti.

Sehubungan itu, Royston menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengkaji semula kaedah pengagihan geran tahunan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah bagi memudahkan penyertaan dalam acara sukan MSS.

Dalam kejohanan tersebut, MSS Bintulu muncul juara kategori 12TKB, diikuti MSS Sibu di tempat kedua dan MSS Kapit di tempat ketiga manakala Sekolah Sukan Tabuan Jaya pula merangkul kejuaraan bagi kategori 15TKB dan 18TKB.

Bagi kategori 15TKB pula, MSS Sibu dan MSS Bintulu masing-masing meraih tempat kedua dan tempat ketiga.

Sementara itu, kategori 18TKB menyaksikan MSS Kuching di tempat kedua dan MSS Miri di tempat ketiga.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Mukah (Sektor Perancangan) Clement Liam, Pegawai Pendidikan Daerah Dalat Magdeline Jon, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers merangkap Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Donny Dahlan, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Mukah (Sektor Pembangunan Bakat Murid) Awang Yusri Awang Adeni, Pengetua SMK St Patrick merangkap Pengerusi Pengetua Bahagian Mukah Silvester Alan William serta Pengerusi Guru Besar Malaysia Cawangan Mukah Baharudin Kardi.-EDISI UKAS