‘Lamei Do Ledoh’ Platform Promosi Budaya Kaum Kayan

Disiarkan pada 28 May 2024
Sumber Berita: UKAS


BELAGA: Perayaan ‘Lamei Do Ledoh’ satu platform yang sesuai untuk mempromosi, memperkenal dan menonjolkan budaya, adat asal dan keunikan pakaian tradisional kaum Kayan kepada dunia luar.

Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang berkata, hal ini kerana selama dua hari ianya berlangsung, pelbagai masyarakat ‘disajikan’ dengan persembahan kebudayaan tradisi Masyarakat Kayan, permainan sukan rakyat, pameran 'hadui asen', pameran makanan traditional, kraftangan dan sebagainya.

Ujarnya, pada malam Ahad juga berlangsung malam kebudayaan di mana setiap rumah panjang kaum Kayan di Sg. Asap mempersembahkan tarian tradisional seperti tarian Ngajat solo lelaki dan wanita serta tarian ‘datun julut’.

“Mungkin mereka tidak datang bersama-sama kita di tempat ini, tetapi pada ketika kita mempersembahan kebudayaan, tarian tradisonal kita di sini, seluruh dunia dapat melihat dan menonton persembahan tersebut melalui media sosial atau digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Lamei Do Ledoh 2024 Peringkat Daerah Kecil Sungai Asap di Uma Bawang Sg. Asap di sini pada Isnin.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga itu, tujuan ‘Lamei’ atau perayaan ini secara langsung dapat memelihara adat dan budaya kita supaya ia kekal diwarisi sampai bila-bila oleh generasi muda kaum Kayan yang akan datang.

Dalam pada itu, acara kemuncak pada malam tersebut adalah pertandingan 'Keligit dan Belawan' yang melibatkan peserta bagi setiap ketagori. 

‘Keligit Do Ledoh 2024’ jatuh kepada Tening Mujah dari Uma Bawang yang turut dinobatkan sebagai Miss Photogenic. 

Naib johan pula jatuh kepada Aryinnie Azira dari Uma Bawang yang turut dinobatkan sebagai Miss Talent manakala tempat ketiga jatuh kepada Jeslyviana Livan Aging dari Uma Juman.  

Bagi kategori ‘Belawan Do Ledoh 2024’ pula, juara dimenangi oleh Harry Batok Emut dari Uma Bawang yang turut dinobatkan sebagai Mr. Favourite. 

Naib johan pula jatuh kepada Dalvin Palong dari Uma Daro diikuti tempat ketiga yang dimenangi oleh Malpin Ating dari Uma Juman. -EDISI UKAS