Anugerah Pengurusan Masjid Julung Kali Meriahkan Maulidur Rasul Sri Aman

Posted on 14 Aug 2025
Source of News: UKAS


SRI AMAN: Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Masjid bakal diperkenalkan buat julung kali sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sri Aman 1447H/2025M bertemakan “Ummah Maju Makmur” pada Sabtu ini.

Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, anugerah itu bertujuan mengiktiraf masjid yang cemerlang dalam pentadbiran dan berperanan aktif sebagai pusat ilmu, dakwah dan penyatuan ummah, sekali gus menjadi inspirasi kepada masjid lain.

Sambutan yang dijangka menghimpunkan kira-kira 3,000 umat Islam itu akan dimulakan dengan perarakan kontinjen dan sepanduk dari Waterfront Sri Aman ke Masjid Bandar Sri Aman, disusuli Ceramah Perdana Maulidur Rasul bersempena 70 Tahun Majlis Islam Sarawak, pertandingan perarakan dan sepanduk empat kategori, serta persembahan khas mengenai keperibadian Rasulullah SAW.

Mahra menegaskan, sambutan ini bukan sekadar memperingati kelahiran Rasulullah SAW, malah menghayati akhlak dan sunnah Baginda sebagai asas pembinaan masyarakat bersatu, amanah dan berintegriti.-EDISI UKAS

#SaluranInformasiRakyat
#SarawakMajuMakmur
#UKASnews