MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri bagi menyokong pengurusan dan operasi jabatan tersebut.
Pengumuman itu dibuat menerusi ucapan beliau yang dibacakan oleh Kaunselor Kelvin Chia Kah Leong semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 dan Majlis Persaraan 2025 di Grand Ballroom, Imperial Hotel pada Rabu.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada PPD Miri atas kejayaan menganjurkan majlis yang meraikan 277 penerima APC dan 62 pesara tahun ini.
Selain itu, beliau memuji pencapaian akademik daerah Miri yang menunjukkan peningkatan dalam peperiksaan utama negara menyaksikan keputusan SPM 2024 mencatat gred purata 4.38, meningkat 0.07 mata dengan 95.58 peratus daripada 3,052 calon layak menerima sijil.
Sementara keputusan STPM 2024 pula merekodkan peningkatan 0.23 mata Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) kepada 3.03 dengan semua calon lulus penuh.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen tinggi warga pendidikan Miri dalam memastikan kualiti akademik dan kokurikulum sentiasa berada di tahap terbaik. Ramai pelajar telah mengharumkan nama negeri dan negara melalui pencapaian kokurikulum,” katanya.
Beliau juga mengakui cabaran besar yang dihadapi PPD Miri dalam menguruskan 62 sekolah melibatkan 46 sekolah rendah dan 16 sekolah menengah, dengan 3,226 guru, 442 anggota kumpulan pelaksana dan 45,853 murid.
Majlis turut diisi dengan lafaz Ikrar Perkhidmatan Awam, penyampaian sijil dan cenderahati kepada penerima APC dan pesara, serta persembahan oleh Kumpulan Gema Gamelan Sainsri dan Kumpulan Persembahan SK Pendidikan Khas Miri.-EDISI UKAS