Sarawak Catat Lebih RM1 Bilion Resit Pelancongan Setiap Bulan Setakat Jun 2025

Posted on 13 Aug 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak berjaya merekodkan lebih RM1 bilion resit pelancongan setiap bulan bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, sekali gus membuktikan pencapaian cemerlang sektor pelancongan negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sepanjang tempoh tersebut, seramai 2,415,563 pelancong telah mengunjungi Sarawak, meletakkan negeri ini di landasan tepat untuk mencapai sasaran lima juta pelancong pada tahun ini.

“Dari Januari hingga Jun, setiap bulan kita berjaya melepasi kutipan pelancongan sebanyak RM1 bilion di mana sehingga akhir Jun ini, jumlah kutipan resit pelancongan yang telah kita peroleh ialah RM6,157,818,756.95.

“Itu adalah sesuatu yang kita semua patut banggakan dan itulah sebabnya saya katakan industri hotel sedang berkembang maju,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Permodalan Satok Berhad (PSB) dan RIYAZ International Sdn Bhd yang berlangsung di Hikmah Exchange and Event Centre, di sini, pada Rabu.

Dato Sri Abdul Karim menambah, pencapaian tersebut secara langsung memberi manfaat besar kepada pengusaha industri, khususnya sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan serta industri tempatan termasuk kraftangan.

“Resit pelancongan yang kita ada itu, mungkin tidak masuk ke dalam perbendaharaan kerajaan. Semua orang tahu. Mereka yang bukan dalam industri pelancongan mungkin tidak faham perkara ini. Ia adalah jumlah yang besar.

“Ke mana perginya wang itu? Semuanya masuk ke dalam industri, ke hotel-hotel, restoran, pengangkutan, industri kraf dan itulah realitinya,” ujar beliau lagi.

Beliau menambah, peningkatan jumlah resit pelancongan dan bilangan pelancong ini adalah hasil usaha berterusan kerajaan Sarawak mempromosikan negeri ini di pentas antarabangsa seperti di ITB Berlin, IMEX Frankfurt dan WTM London.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif PSB Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) merangkap Ahli Lembaga Pengarah PSB Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengarah Urusan RIYAZ International Sdn Bhd Dato Sri Mohammed Shaheen Shah Mohd Sidek serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS