BELAGA: Masyarakat Kaum Kayan diseru untuk sentiasa bersatu hati bagi mencapai matlamat bersama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata, suku kaum Kayan adalah bangsa yang sangat minoriti, termasuk jumlah Orang Ulu yang sangat sedikit berbanding dengan bangsa-bangsa yang lain di Sarawak dan juga di Malaysia amnya.
"Oleh itu, betapa pentingnya kita bersatu padu, sehati sejiwa, segulai sejalai agar suara kita, permohonan kita, matlamat kita dapat didengarkan oleh pihak atasan.
"Justeru itu, apabila masyarakat Kayan mahupun Orang Ulu bersatu padu, kita dapat menggapai berbagai potensi dan peluang untuk memajukan bangsa kita dalam pelbagai bidang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Lamei Do Ledoh 2024 Peringkat Daerah Kecil Sungai Asap di Uma Bawang Sungai Asap di sini pada Ahad.
Dalam sektor pendidikan tambahnya, kesatuan masyarakat membolehkan masyarakat kaum Kayan untuk memberi tumpuan yang lebih besar kepada pembangunan modal insan, memperkukuhkan sistem pendidikan dan memastikan akses pendidikan yang berkualiti untuk setiap individu.
Dalam pada itu, Kennedy menambah, acara persembahan yang diadakan sempena Lamei Do Leh Do turut untuk meraikan kebudayaan dan kesenian dari suku kaum Kayan bagi menjaga dan mewarisi kekayaan budaya agar ia tidak pupus dan dapat diwarisi kepada generasi akan datang.
"Kesenian dan kebudayaan tradisional merupakan cerminan identiti dan keunikan masyarakat kita.
“Melalui persembahan ini, kita dapat memperkukuhkan rasa cinta terhadap warisan nenek moyang kita serta memastikan agar nilai-nilai luhur yang terkandung dalam seni dan budaya tradisional kita dapat terus dihayati, dilestari dan diteruskan," ujarnya.
Turut hadir Ahli Dewan Negara Senator Michael Muhan Lijan, Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah serta tetamu jemputan yang lain -EDISI UKAS